Sunday, 23 September 2012

WANITA BERLUMURAN DARAH TAGIH NYAWA DUA BERADIK


REALITI, MIMPI ATAU MISTIK.


Jam menunjukkan tepat pukul 1 pagi. Eyka baru sahaja berbaring hendak tidur di atas tilam empuknya. Tiba-tiba Eyka dikejutkan dengan bunyi ketukan di pintu biliknya. Eyka terpaku mendengarnya. Namun Eyka tetap memasang telinga. Beberapa minit kemudian, bunyi ketukan itu kembali kedengaran, malah ianya semakin kuat dan membuatkan mulut Eyka yang cantik lagi seksi terkumat-kamit membaca ayat-ayat Suci yang dia ingat sambil menggigil ketakutan. Peluh ketakutan mula membasahi leher dan dahi Eyka tanpa dia sendiri tidak menyedari.
Sebenarnya gangguan tersebut berlaku hampir setiap malam semenjak Eyka dan adiknya Shahirah menyewa rumah tersebut. Rumah yang terletak di pinggiran Kota itu disewa oleh mama dan abah Eyka sendiri bagi memudahkan dia dan adiknya berulang-alik untuk pergi ke kuliah. Namun begitu, baru sebulan mendiami rumah sewa tersebut, adik Eyka meninggal dunia secara misteri. Anak dara sunti yang malang tersebut meninggal setelah hari-harinya penuh dengan ketakutan akibat gangguan benda halus dan ghaib.
Pelbagai kejadian aneh telah berlaku sebelum Shahirah meninggal dunia. Suatu malam, dengan tiba-tiba sahaja Shahirah ( adik Eyka ) terlihat kepala wanita tanpa badan masuk dari pintu biliknya dan melayang-layang di siling bilik sambil matanya yang merah merenung tajam ke arahnya. Katanya, dari mata, hidung dan mulut, kepala wanita tersebut mencucurkan darah segar, serta terus memberikan senyuman padanya. Kejadian lain pula, ketika Eyka sedang mandi di bilik mandi, adiknya Shahirah berada di dalam bilik. Sewaktu berbaring, tiba-tiba Shahirah terdengar ada orang membuka pintu bilik dan kemudian terbaring di sisinya.
Lalu Shahirah bertanya, “ kenapa? Tak jadi mandi ke….?” Namun pertanyaaan Shahirah tidak dijawab. Dia yang tidak berpuas hati soalannya tidak dijawab terus berpaling ke arah kakaknya. Apa yang dilihatnya bukan Eyka kakaknya tetapi susuk seorang wanita yang berlumuran darah diwajahnya dan matanya pula tertutup seolah-olah hendak tidur. Tiba-tiba wanita tersebut membuka matanya dengan luas dan darah dari mata mula mengalir keluar dalam keadaan yang menyeramkan. Terkejut Shahirah dan dengan spontan dia melompat dari katil sambil menjerit meminta tolong. Namun pekikan Shahirah tidak kedengaran kerana mulutnya tidak dapat mengeluarkan suara kerana dia merasakan lehernya seakan-akan dicekik dengan kuat oleh wanita yang muncul tadi.
Gangguan tersebut berlangsung hampir setiap malam. Disebabkan gangguan-gangguan tersebut, Shahirah nyaris jadi gila. Sering kali dia akan berteriak-teriak sendiri tanpa sebab yang pasti. Bahkan, kadang-kadang Shahirah akan bercakap sendirian dengan nada meracau. Dia juga selalu menjerit-jerit histeria penuh ketakutan dengan tangannya menuding ke suatu tempat. Shahirah yang paling kerap diganggu hantu-hantu di rumah tersebut. Seolah-olah anak dara sunti ini memiliki daya tarikan tersendiri buat hantu-hantu di dalam rumah tersebut. Pada suatu hari, dikhabarkan Shahirah telah meninggal dunia dalam satu kejadian langgar lari ketika dia keluar mencari makanan untuk kakaknya. Eyka sangat terpukul dan berasa kehilangan seseorang yang dia amat sayangi. Dia tidak menyangka bahawa adiknya akan mati pada umur 20 tahun. Begitu lama Eyka berkabung, mendiamkan diri dan meratapi kematian adik kesayangannya itu.
Semenjak Shahirah meninggal dunia, mama Eyka telah pindah ke rumah itu. Rosmah tidak tahan melihat anaknya bersendirian di rumah tersebut. Namun semenjak tinggal bersama anaknya, wanita tua itu tidak pernah merasa gangguan  yang seperti mana dialami oleh Eyka dan arwah anaknya.
“ Mama rasa sudah sebulan lebih mama tinggal bersama kamu Eyka, tetapi tidak sekalipun mama mengalami gangguan-gangguan seperti kamu katakan itu.” Ujar Rosmah.
“ Memang aneh mama….setelah adik meninggal, kini giliran saya pula. Mungkin juga saya akan mati seperti adik jika keadaan akan berterusan sebegini. Apa kata kita cari rumah sewa lain je mama.” Cadang Eyka setelah dia sering melihat ada bayang seperti susuk wanita berjalan melayang-melayang tanpa kepala.
“ Kalau begitu kata kau nak, mungkin itu sahajalah jalan keluar yang paling baik.” Ujar Rosmah bersetuju dengan idea anaknya Eyka.
Pada minggu tersebut, dua beranak itu sibuk mengemas rumah dan memunggah barang yang mana patut. Setelah berpindah, Eyka tidak mengalami sebarang gangguan lagi. Mama Eyka pun berasa lega meninggalkan dia seorang diri. Tambahan pula, tuan rumah telah berjanji untuk melihat dan menjaga keadaan diri Eyka.
Namun begitu, ketenangan tersebut tidak lama. Gangguan tersebut itu muncul kembali terutamanya ketika tengah malam. Sejak gangguan itu muncul, Rosmah kembali semula tinggal bersama anak kesayangannya Eyka. Tetapi yang anehnya, mamanya itu tidak pernah mengalami keadaan yang dialami Eyka. Begitu juga dengan tuan rumahnya.
Akibat gangguan itu muncul secara berterusan, Eyka sering diserang sakit kepala yang amat sangat secara tiba-tiba akibat terlalu memikirkan masalah yang dialaminya itu. Melihat keadaan anak kesayangannya macam orang gila, Rosmah pula diserang penyakit jantung dan akhirnya meninggal dunia didepan anaknya sendiri ketika saat itu.
Hati Eyka hancur berkecai. Akibat kematian orang tersayang, Eyka mengalami kejutan yang amat teruk dan dahsyat. Keluarga terdekat termasuk tunangnya Irwan, berasa kelam kabut dengan keadaan tersebut. Atas usaha tunangnya, seorang Ustaz telah dicari bagi menghalau hantu yang selalu menganggu Eyka. Namun belum sempat bertemu Ustaz tersebut, Eyka tiba-tiba meninggal dalam keadaan ngeri. Seluruh tubuhnya berbelang-belang warna kebiruan manakala lidahnya terjulur keluar seakan dicekik orang dan kepalanya hampir putus seperti disembelih macam kepala lembu.
Setelah kematian Eyka, Irwan ( tunang Eyka ) telah menjadi hilang ingatan. Tidak lama selepas kematian Eyka, mayat Irwan telah dijumpai dalam keadaan berulat di tepi tong sampah. Kesan koyakan daging yang dibuat oleh anjing lapar jelas kelihatan pada sebujur tubuh tersebut. Kata Ustaz bahawa hantu tersebut akan terus menganggu secara berterusan sekiranya tuan hantu tidak datang menuntut hantu belaannya. Kata orang berhampiran rumah sewa lama Eyka pula, tuannya telah lama meninggal dunia gara-gara hantu belaannya mengamuk menuntut janji.

Sunday, 9 September 2012

Mak Bidan

"Abang, Amy rasa tidak sihatlah hari ini!" rungut seorang wanita sambil mengurut-urut perutnya yang sarat itu. Ramli menoleh kearah isterinya, "Sabarlah sayang, bidan Esah akan sampailah tu sekejab lagi. Dia menoleh kehadapan semula sambil melepaskan satu keluhan kecil dan terus mundar mandir di serambi rumah itu. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu tidak dapat mengurangkan keresahan di hatinya. Tiba tiba air mukanya berubah riang. "Sayang, mak bidan dah sampai" dia memberitahu isterinya.

Seorang wanita yang separuh umur berjalan dengan tenang kearah rumah papan itu, sekali sekala mengesatkan peluh yang merchik di dahinya. "Mak Cik Esah, cepatlah sikit." sapa lelaki itu. Wanita itu kelihatan terkejut.

"Kenapa ni. Minah dah sakit ke? Bukankah masih awal lagi ni?" ujar wanita itu lagi.

"Tidak lah begitu. Tetapi dia ni asik menggelisah semenjak dua tiga hari ni." jawab lelaki itu.

Mak Cik Esah cuma mengganggukkan kepalanya sambil menanggalkan seliparnya sebelum memijak naik anak tangga. Dia mencapai gayung di tepi pemegang tangga dan mencebuk air dari tempayan untuk membasuh kakinya. Dengan berhati-hati dia melangkah naik ke atas dan masuk kedalam rumah sambil diikuti oleh Ramli.

Mak Cik Esah meletakkan barang-barang yang dikeleknya dalam bungkusan kain itu ke tepi seorang wanita yang terbaring di atas tikar mengkuang di lantai. Segera dia mengeluarkan bekas dupa dan sekejab sahaja bau kemenyan semerbak mencucuk hidung. Muka Cik Esah berkerut dengan tiba-tiba.

"Kenapa tu. Ada apa-apa ke?" tanya Ramli, cermas.

"Tidak ada apa-apa." jawab bidan Esah pendek sambil sibuk membungkus sesuatu daripada dalam bungkusan kainnya kepada beberapa bungkusan kecil. "Nah! letakkan ni di setiap penjuru rumah." sambil mengunjukkan beberapa bungkusan berisi jarum, belerang dan tahi besi berbungkus dalam kertas. Muka Ramli berkerut kehairanan, tetapi tetap akur menurut arahan bidan itu. Mulut bidan Esah terkumat-kamit membaca sesuatu sambil dia mengurut belakang wanita yang terlantar itu. Setelah mengurut beberapa lama, muka wanita itu tidak lagi berkerut menahan sakit.

"Wah! bagus Mak Cik Esah ni mengurut." kata Ramli, tersenyum setelah naik ke rumah apabila selesai melakukan seperti apa yang dipesan oleh bedan Esah tadi. Hatinya lega melihatkan isterinya sudah tidak duduk mengelisah lagi. Bidan Esah hanya tersenyum sumbing sambil mengemaskan barang-barangnya. Ramli menghantar bidan Esah sehingga ke pintu rumah seraya mengunjukkan duapuluh ringgit yang berlipat rapi. "Terima kasih sekali lagi Mak Cik Esah." kata Ramli bersungguh-sungguh.

"Kau jagalah bini engkau baik-baik." kata bidan Esah. "Jangan biarkan dia turun ke tanah waktu-waktu magrib nanti. Kalau dia memotong kuku, engkau tanamkan kukunya, jangan dibuang merata-rata. Kalau ada apa-apa panggillah aku. Ingat itu." pesannya bersungguh-sungguh. Ramli hanya mengganggukkan kepalanya. Matanya menyorot bidan Esah sehingga melepasi pagar, selepas itu dia masuk melihatkan isterinya.

"Amy rasa dah sihatlah abang." ujar isterinya sambil tersenyum. Rahim merasa bimbang ketika isterinya itu mengadu sakit-sakit badan semenjak beberapa hari yang lalu, sekarang barulah dia merasa lega. "Rehatlah dahulu sayang." bisiknya lembut.

Beberapa minggu kemudian....

Bunyi cengkerit bersahut-sahutan. Keadaan rumah itu agak riuh dengan orang ramai. Mak cik Jah menenangkan menantunya. "Sabarlah Aminah. Sabar. Hah! engkau Bidin, buat apa tercegat di situ lagi. Cepatlah panggilkan bidan Esah tu. Bini engkau dah hendak bersalin ini."

"Baik mak." ujar Bidin sambil tergesa-gesa turun kerumah sambil menyalakan jamung untuk menerangi jalan kampung yang gelap itu. Di pertengahan jalan tiba-tiba dia disapa, "Hendak ke mana tu Bidin?"

Bidin tercangak-cangak, cuba mengenali siapakah yang menegurnya dalam kegelapan malam itu. "Hendak menjemput bidan Esah." jawabnya pendek.

"Minah sudah hendak beranak ke?" tanya suara garau itu lagi.

"Dah." jawab Bidin. "Siapa itu?" tanya Bidin lagi apabila dia melihat seimbas, satu lembaga dalam samar-samar api jamung itu. Tiba-tiba dia merasa seram apabila melihat lembaga itu sudah menghilang dengan mengejut. Dia segera mencapai hulu parangnya yang tersisip di pinggang. "Siapa itu? Siapa hah?" dia mencabar pada kesepian malam. Hanya bunyi cengkerit menyayi riang menyahut cabarannya, menyebabkan Bidin mempercepatkan langkahnya kearah rumah bidan Esah. Dalam hatinya dia asyik tertanya-tanya suara siapakah yang menegurnya tadi, sehinggakan dia tidak tersedar satu lembaga putih melayang kearah yang bertentangan dengannya di atas kepalanya.

Garis titisan darah.

Di rumah Bidin, satu lembaga kelihatan melangkah semakin dekat. Mak cik Jah yang sedang menunggu di anjung segera menajamkan mata, cuba memastikan siapakah yang datang itu. "Oh! bidan Esah." kata Mak Cik Jah, gembira. "Mana Bidin? Dia tidak ikut bidan Esah bersama-sama?" sambungnya lagi kehairanan.

Bidan Esah mecucurkan air dari gayung untuk membasuh kaki, sebelum meletakkan cebuk itu kembali dalam tempayan di tepi tangga. "Dia kata dia hendak pergi mencari daun ubat sebelum balik." terang bidan Esah menunggu di pintu masuk. "Eh! masuklah." jemput Mak Cik Jah pada bidan Esah. dia masih kehairanan dengan perangai anaknya itu yang tidak menemani bidan Esah datang. Dia menjeling keluar dengan ekor matanya, tertanya-tanya bagaimana bidan Esah boleh berjalan dalam gelap tanpa bersuluh. "Jamung aku terjatuh semasa aku hendak sampai tadi." kata bidan Esah sambil melangkah masuk, seolah-olah tahu apa yang hendak ditanyakan oleh Mak Cik Jah. Mak Cik Jah tersipu-sipu sambil menunjukkan bilik menantunya berada. "Engkau semua tunggu sahaja di luar nanti. Jangan masuk walau apa yang berlaku." arah bidan Esah. Mak Cik Jah terus tertanya-tanya dalam hati tetapi dia hanya menganggukkan kepalanya.

Aminah terbaring di dalam bilik keseorangan sambil memejamkan matanya. Dia membiarkan sahaja bidan Esah memeriksanya, apabila tiba-tiba dia merasakan perutnya sakit mencucuk-cucuk. Dia membukakan matanya dan darahnya berderau melihatkan satu lembaga yang hodoh sedang duduk di celah kelangkang kakinya sambil menjilat-jilat darahnya dengan lahap sekali, menggunakan lidah terjelir panjang sehingga ke kaki. Aminah menjerit-jerit sekuat hatinya. Lembaga itu hanya tersengih sambil terus menjilat-jilat darah yang keluar. Aminah tidak dapat berbuat apa-apa kerana kakinya di pegang erat oleh lembaga itu. "Tolong.. Tolong... Lepaskan aku. lepaskan aku. Engkau shaitan.. Pergi... Pergi.. Abang Bidin... Tolong... Tolong...."

Mak Cik Jah terkejut mendengarkan jeritan menantunya. Hatinya risau tetapi dia teringat pesan bidan Esah dan akur menunggu di luar pintu bilik. Orang ramai di ruang tamu sudan mula berbisik-bisik mendengar teriakan Aminah di dalam bilik itu. Tiba-tiba terdengar bunyi kecoh di muka pintu, Bidin muncul tercungap-cungap.

"Hah! mana engkau pergi Bidin? Lambat balik. Kenapa dengan engkau ini?" tanya Mak Cik Jah bertubi-tubi, kerisauan.

"Saya pergi memanggil bidah lah mak." jawab Bidin kehairanan.

"Bidah Esah sudah lama sampai. Engkau saja yang entah kemana-mana pula." jawab emaknya.

"Bila pulak aku sampai." terdengar satu suara di muka pintu.

Mak Cik Jah berpaling dengan pantas. Mukanya pucat, jika dihiris tidak berdarah. "Bidan Esah... Kalau macam itu siapa pula yang di dalam..." katanya terputus-putus.

"Syaitan! Penanggalan!" getus bidan Esah sambil mengetapkan bibirnya penuh kemarahan.

"Abang Bidin...... Tolong..." Aminah meraung dari dalam bilik.

Bidan Esah segera menerpa ke bilik tetapi ternyata Bidin lebih pantas mendapatkan isterinya, diikuti dengan bidan Esah. Mak Cik Jah hanya terpaku terpinga-pinga di tengah ruang rumah, kebingungan.

Bidin terperanjat melihatkan isterinya meronta-ronta lemah seorang diri. Bau darah hanyir menusuk-nusuk hidungnya menyebabkan dia hampir muntah. Segera dia memegang lengan isterinya. "Tolong isteri saya bidah Esah. Tolonglah." dia merayu kepada bidan Esah yang terkocah-kocah mengekorinya di belakang.

Bidan Esah segera memeriksa Aminah dengan teliti. "Syukurlah kita cepat, masih ada peluang. Cepat Bidin, buat seperti apa yang aku suruh tadi." Sementara itu bidan Esah mengambil seikat daun telinga beruk dari dalam bungkusannya lalu diberikan kepada Mak Cik Jah yang kelihatan masih terperanjat itu.

"Cepat rebuskan daun ini untuk di beri minum buat air selusuh. Lepas itu engkau jerangkan air panas untuk digunakan nanti." dia mengarah Mak Cik Jah. Bidan Esah berharap dengan ada sesuatu untuk dibuat, Mak Cik Jah tidak akan lama berada dalam keadaan terkejut.

Bidan Esah tersenyum sedikit apabila terdengar bunyi bising dari arah dapur menunjukkan semangat Mak Cik Jah sudahpun pulih sedikit dan boleh membantu. Dia terus membacakan beberapa patah ayat suci Al-Quran lalu menghembuskan keseluruh tubuh Aminah sebelum membuat persediaan yang diperlukannya. Ternyata tidak banyak perubahan berlaku. "Oh! Kamu degil ya!" Desis hatinya.

Bidin melompat pantas, melakukan seperti apa yang disuruh. Dia turun ke tanah dengan parang terhunus mencari daun mengkuang dengan hanya bermandikan cahaya bulan.

Dalam kegelapan malam itu satu hilaian memecah kesunyian malam. Bidin mengetapkan bibirnya. "Kalau aku dapat, tahulah engkau." dia mengerutu keras. Tangannya menghayunkan parang yang tajam berkilat itu sekuat hatinya ke pangkal daun mengkuang. Bunyi parang mengerat daun mengkuang itu bergema dalam kesunyian malam....
Titisan darah menitis.
Aminah dapat melihat lembaga hodoh itu mengelisah sebaik sahaja suaminya menerkam masuk tetapi lembaga itu terus sahaja menjilat-jilat darah yang mengalir itu sambil menyeringa ke arah Bidin dan bidan Esah, tetapi kedua mereka tidak menyedari kehadiran lembaga itu. Aminah cuba menjerit memberitahu mereka tetapi dia hanya mampu mengerang-gerang. Kemudian Aminah dapat melihat Bidin keluar daripada bilik itu meninggalkannya bersama bidan Esah. Aminah dapat merasakan perutnya memulas setiap kali lembaga itu menjilat-jilat darah dari tubuhnya. Apabila asap kemenyan berkepul-kepul naik, Aminah merasa lega sedikit sementara lembaga itu pula yang mulai mengelisah.

Bidan Esah menaburkan serbuk kemenyan ke atas bara di dalam dupa dan membiarkan sahaja asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al Quran. Dia kemudiannya mengeluarkan beberapa biji lada hitam dan mengasapkannya di atas dupa sebelum meletakkannya ke dalam kain lalu di tumbuknya perlahan-lahan dengan kacip pinangnya apabila dengan tiba-tiba...

Aminah dapat melihat lembaga itu menyeringa kesakitan apabila bidan Esah mengetuk sesuatu di dalam ponjot kain. Secara tiba-tiba lembaga itu melontar sesuatu ke arah muka bidan Esah.

"Aduh!" Jerit bidan Esah sambil memegang matanya yang tiba tiba sahaja perit. "Oh! Engkau melawan aku ya." Bisiknya sambil mengeyeh-genyehkan matanya, cuba melihat kembali. Bidan Esah mendapati pasir memenuhi lantai tempat dia duduk. "Cis! Jembalang. Kalau jembalang itu tidak patut di buat baik." Desisnya di dalam hati sambil mengumpulkan pasir yang bertaburan itu ke dalam telapak tangannya sambil mulutnya terkumat-kamit berterusan membacakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Lembaga mengganas.
Aminah melihat bidan Esah menaburkan pasir yang di telapak tangannya sedikit demi sedikit ke atas bara api di dalam bekas dupa, serentak dengan itu lembaga itu meraung kesakitan. Dengan tiba-tiba lembaga itu bingkas bangun serta menerkam kearah bidan Esah. Aminah cuba menjeritkan amaran tetapi suaranya tersangkut di dalam tekaknya sahaja. Sebaik sahaja lembaga itu cuba mencekik bidan Esah ada sesuatu kuasa yang menghalangnya dan menyebabkan lembaga itu terpelanting ke sudut bilik. Lembaga itu terus cuba untuk menyerang bidan Esah beberapa kali tetapi ia terus terpelanting sebaik sahaja cuba merapati bidan Esah. Akhirnya lembaga itu tersandar sambil terkial-kial kesakitan sementara bidan Esah berterusan sahaja membaca ayat suci Al Quran sambil menaburkan pasir di tangannya ke bara api.

Lembaga terbakar.
Aminah dapat melihat badan lembaga itu berasap dan melepuh dan dengan secara tiba-tiba sahaja badan lembaga itu terbakar dengan maraknya. Aminah dapat melihat lembaga itu mengelumpur kesakitan sementara badannya marak terbakar sebelum sedikit demi sedikit berubah menjadi asap tebal yang hitam kelam yang menyelubungi bilik itu. Asap hitam itu berlegar-legar mengelilingi bidan Esah, seolah-olah hendak melemaskannya, tetapi bidan Esah tidak sedikitpun berhenti membaca ayat-ayat suci sambil terus membakar baki pasir yang tinggal di tangannya. Akhirnya asap hitam itu beransur-ansur semakin menipis ditiup angin yang menerpa masuk melalui liang dinding rumah kayu itu sebelum bercampur dengan asap kemenyan lalu hilang.

Setelah lembaga itu menghilang barulah Aminah dapat bingkas duduk dan menjerit ketakutan, sebelum dia ditenteramkan oleh bidah Esah. "Mengucap, mengucap anak. Jangan lupa kepada Allah yang sentiasa melindungi hambanya daripada gangguan shaitan." Perlahan-lahan perasaan Aminah menjadi bertambah tenang setelah dia mengucap berkali-kali dan barulah dia boleh berbaring kembali ke katil.

"Bidin! Engkau jangan masuk." Arah bidan Esah apabila mendengar bunyi telapak kaki Bidin yang bergegas naik apabila mendengarkan jeritan isterinya. Bidin akur dan menunggu dengan penuh bimbang di muka pintu.

Melihatkan Aminah sudahpun bertenang, bidan Esah segera mengeluarkan segala alat perubatannya dari dalam bungkusan kain yang sentiasa dikeleknya bersama, dan segera dia bertungkus lumus dengan segala keupayaannya sebagai seorang bidan berusaha untuk menyelamatkan dua nyawa yang berada di hadapannya itu. Mula-mula dia memberhentikan darah yang keluar itu menggunakan beberapa campuran daun yang diramas lumat. Selepas pendarahan itu berhenti, barulah dia mengurut perut Aminah, cuba mengasak bayi dalam kandungan itu supaya turun sedikit. Dia berasa bimbang sedikit kerana mendapati kandungan itu masih tinggi sedangkan Aminah sudahpun lesu akibat terperanjat dan banyak kehilangan darah tetapi dia tetap mengawal air mukanya agar Aminah tidak dapat melihat perasaan bimbang di dalam hatinya. Bidan Esah mengeluh sambil berusaha seupayanya.

Bidin sudahpun selesai meletakkan daun mengkuang di sekeliling rumah apabila dia mendengar bunyi teriakan dari atas rumah. Segera dia menerpa ke atas rumah tetapi arahan bidan Esah menyebabkan dia terhenti di muka pintu bilik. Bidin menunggu dengan penuh debaran.

Bunyi tangisan bayi menyambut ketibaannya. Hatinya berdegup kencang apabila bidan Esah melangkah keluar sambil mendokong seorang bayi yang baru lahir. "Nah, pegang anak engkau. Syukurlah semuanya selamat." kata bidan Esah sambil menyelak sedikit kain pembalut bayi itu sebelum melangkah masuk kembali kedalam bilik. Bidin dapat merasakan matanya berair. Dia berdiri tegak sahaja sambil mendodoikan anaknya itu seketika, kemudian sambil memangku anaknya dia mengalunkan azan dengan perlahan-lahan di telinga kanan anaknya.

Pencekik Darah

Dalam kegelapan malam itu bunyi enjin kereta pacuan empat roda meraung membelah kesunyian malam itu. Bagaimanapun tiada siapa yang keluar menjenguk, masing-masing sibuk dengan hal masing-masing ataupun ....? Sebuah kereta jeep kelihatan terhuyung-hayang merendah kegelapan malam, lampu hadapannya menyinari jalan berlopak dengan cahaya lesu yang suram. Ia merentas kampung itu sebelum berhenti di hadapan sebuah rumah yang serdahana besar. Seorang pemuda yang kelihatannya dalam lewat empatpuluhan melompat keluar sambil memegang sebuah lampu suluh berkuasa tinggi dan satu beg galas. Dia merenung ke langit dengan muka yang berkerut sebelum menguncikan keretanya.

Setelah itu dia berjalan ke tangga rumah dengan berhati-hati dengan bantuan cahaya lampunya. Selepas menanggalkan kasut di tangga, dia menjinjing kasutnya dan melangkah menaiki tangga sehingga ke muka pintu. Dengan suara yang kuat dia memanggil "Ada sesiapa di dalam?", agar suaranya dapat didengari, mengatasi bunyi guruh yang sambung-menyambung itu. Sebaik sahaja dia memanggil, terdengar bunyi lantai berkiut dipijak seseorang, tetapi pintu masih belum terbuka. "Pak Astoroth, Ooo Pak Astoroth. Saya ini. Kamat." Dia memanggil sekali lagi dengan suara yang lebih keras sedikit, barulah ada bunyi suara orang menjawab kedengaran.

"Oh engkau Kamat.", bunyi suara orang menjawap. Serentak dengan itu pintu depan dibuka dan seorang lelaki yang separuh umur menjengukkan kepalanya keluar dan segera menjemputnya masuk. Sebaik sahaja dia masuk, dengan segera pintu ditutup dangan cepat dan dikunci. Kamat mengerutkan mukanya sambil meletakkan kasutnya yang lecak ke tepi pintu. Bau kemenyan dibakar tajam mencucuk-cucuk hidungnya."Kenapa ini Pak Astoroth? Panggil saya pulang tergesa-gesa begini? Macam orang takut sahaja? Ada berita baik ke?"

Pak Astoroth hanya tersengih-sengih "Tidak ada apa-apa, tidak ada apa-apa. Nantilah aku beritahu . Duduklah dahulu. Engkau akan lama berada di sini?"

Kamat tersengih sebelum duduk bersila di tempat yang ditunjukkan. "Saya perlu balik segera ke bandar nanti. Ada urusan yang belum selesai. Bagaimana Pak Astoroth? Dapat ke barang yang saya minta itu? Kalau betul, saya akan berikan berapa sahaja Pak Astoroth mahu."

"Bagus-bagus", jawab orang tua itu sambil terbatuk-batuk kecil. Dia mencapai dian di tengah bilik lalu masuk ke dalam suatu bilik kecil yang tertutup rapi. "Payah juga aku mendapatkannya. Tetapi sekarang aku sudah dapat...." ujarnya. Kamat terpaksa menurut sahaja kerana hanya cahaya dian itu menjadi penerang rumah itu. Dia memasuki bilik kecil itu dengan hati yang berdebar-debar. Impiannya akan terlaksana. Akan puaslah hatinya apabila apa yang diimpikan olehnya tercapai nanti.

Orang tua itu duduk bersila di tepi dinding bilik mengadap satu bungkusan kain hitam yang terletak di dalam talam di tengah-tengah bilik. Kamat terpaku, matanya tertumpu kepada bungkusan itu. "Itulah yang engkau inginkan." suara garau lelaki tua itu memecahkan angan-angannya. Kamat tersentak. "Aku mahukan dua puluh ribu untuknya." Kamat pura-pura tersentak, "Apa, Pak Astoroth gilakah meminta wang sebanyak itu daripada saya." dia bertanya.

Pak Astoroth hanya tersenyum, "Aku sendiri yang memotongnya untuk engkau. Aku sendiri yang memujanya selama sebulan ini untuk engkau. Sekarang sudah patut engkau membayar aku wang sebanyak itu. Atau engkau mahu melakukannya sendiri?"

"Bagaimana saya tahu ia benar-benar berhasil. Bagaimana jikalau Pak Astoroth membohongi saya." tanya Kamat ragu-ragu.

"Jangan bimbang. Apa yang engkau inginkan sudah berada di hadapan kamu. Tidak mungkin aku membohongi kamu." kata orang tua itu sambil menambah kemenyan ke dalam dupa di hadapannya.

"Baiklah" kata Kamat, nekad. "Ajarkanlah saya kuncinya, dan saya akan berikan wang sebanyak yang Pak Astoroth minta."

Orang tua itu tersenyum girang. Segera dia membuka bungkusan kain hitam itu. Bau busuk menerpa ke hidung Kamat, tetapi dia tidak menghiraukannya. Matanya terpaku kepada benda yang terletak di dalam talam itu. Berderau darah ke mukanya apabila dia menyedari benda itu. "Apa ini! Pak Astoroth!" pekiknya.

Orang tua itu hanya tertawa. "Yang engkau mahukan... pastinya engkau dapat. Sekarang sudah terlewat untuk engkau berundur. Duduklah! Akan aku ajarkan cara menyerunya."

Kamat terduduk lemah. Benda yang kecut di dalam talam itu mengejutkannya. Dia tertunduk lemah. Orang tua itu tidak menghiraukan keadaan Kamat. Dia terus mengajar petua-petuanya. Tidak lama kemudian barulah Kamat dapat mulai membetulkan tubuhnya dan mula menghafal ayat-ayat yang diajari itu.

Sebentar kemudian orang tua itu membungkuskan semula bungkusan kain di dalam talam itu. "Sekarang ia akan turut pada perintah kamu." katanya. "Mana wang aku. Jangan cuba menipu aku. Katanya keras. "Rumah ini sudah aku pagarkan, dan tidak mungkin apa-apa dapat menembusinya. Haa... Haa... Haa..."

Kamat membuka beg galasnya dengan longai. Dia mengeluarkan beberapa berkas wang tunai dan menghulurkannya kepada orang tua itu yang tertawa kegirangan. Kamat terus mencapai bungkusan itu dan keluar tanpa menghiraukan orang tua itu yang terpinga-pinga apabila diberikan wang yang lebih daripada yang dimintanya. Tetapi hanya seketika. Bunyi ketawa memecah keheningan malam. Kamat tidak mempedulikannya. Dia terus menerpa keluar ke keretanya tanpa menghiraukan air hujan yang jatuh menimpa tubuhnya.

Di dalam kereta, dia terduduk lesu. Sejenak itu, dia mengeluarkan bungkusan kain hitam itu dan meletakkannya berhati-hati ke tempat duduk di sebelahnya. Dia membuka bungkusan itu dan mula mengamalkan petua yang dipelajarinya dengan berhati-hati. Dia tidak mahu tersilap, kerana jika tersilap nahas jadinya.

Sementara itu orang tua itu segera menguncikan pintu rumahnya. Duit yang berkepal itu di pegangnya dengan girang. "Haa... Haa.. Haa.." Dia merasa begitu gembira. Dia akan pindah besok agar tidak ada sesiapa pun dapat mencarinya walaupun Kamat. Terutamanya Kamat. Siapa tahu kalau-kalau....

Tidak beberapa lama dia mendengar suara orang memanggilnya, sayup-sayup di sebalik bunyi guruh. Berhati-hati dia membuka pintu rumahnya. Dia dapat melihat Kamat duduk mencangkung di tepi roda keretanya. "Tolong saya Pak Astoroth. Kereta saya pancit. Bolehkah Pak Astoroth tolong pegang lampu suluh ini sementara saya tukarkannya."

Dia teragak-agak. Air muka Kamat berubah seolah-olah bimbang. "Saya akan berikan Pak Astoroth wang jika Pak Astoroth bantu saya."

Hati orang tua itu berbelah-bagi. Wangnya sudah banyak tetapi .... sedikit lagi.... hanya dengan memegang lampu suluh. Pemuda itu begitu pemurah ,memberikannya wang lebih daripada yang dimintanya tadi. Sekarang, sekiranya dia membantu......

"Baiklah", katanya sambil melangkah turun. Kamat menghulurkan lampu suluh itu kepada orang tua itu sambil berjalan ke belakang kereta untuk mengambil roda pengganti. Pak Astoroth menyuluh roda kereta Kamat. Dia tidak nampak apa-apa yang silap dengan roda itu. "Kamat, betulkah engkau ini. Roda ini baik sahaja aku lihat." katanya sambil menyuluh ke arah roda itu.

Satu bayangan melintas di atas kepalanya lalu hinggap ke atas pokok durian yang berhampiran. Secara tiba-tiba sahaja bulu romanya berasa tegak. Segera dia menyuluh sekitar kawasan itu. "Kamat, Kamat, di mana engkau. Jangan engkau bergurau dengan aku. Nanti engkau menyesal."

"Percayalah Pak Astoroth, saya tidak akan menyesal" suara Kamat keras menerjah ke lubang telinganya. "Kampung ini adalah kampung asal saya. Pak Astoroth mungkin tidak tahu kerana Pak Astoroth baru berpindah ke sini."

Orang tua itu terpinga-pinga. Memang benar dia baru berpindah ke kampung itu setahun lalu. Tetapi sememangnya dia selalu berpindah-randah kerana tidak mahu orang mengetahui tentang pekerjaannya itu. "Jadi, kenapa dengan itu." tanyanya garang. "Engkau jangan lupa aku ada pendindingnya." tambahnya lagi.

Kamat tertawa berdekah-dekah. "Benar. Pak Astoroth memagar rumah Pak Astoroth. Tetapi sekarang Pak Astoroth bukan berada di dalam rumah.... Pak Astoroth berada bersama saya di tanah."

Orang tua itu tersentak mendengarkannya. "Jadi sekarang engkau mahu wang engkau kembali. Begitu?" soalnya kembali.

"Oh.. tidak... tidak sama sekali. Wang itu sememangnya saya ingin berikan kepada Pak Astoroth. Sememangnya Pak Astoroth handal. Ia betul-betul berkesan." kata Kamat keras.

"Nah! ambil duit engkau ini kembali." unjuk orang tua itu ke arah Kamat. "Ambillah... Ambillah... Kalau engkau tidak mahukan duit ini kenapa engkau buat aku begini?"

Kamat melangkah dari kegelapan malam itu ke dalam pancaran lampu suluh orang tua itu. "Ini adalah kerana kepala manusia yang engkau penggal itu adalah kepala ibu kandungku, mengerti?"

"Tolonglah, aku tidak tahu hal itu. Jangan.. Jangan.." rayu orang tua itu terketar-ketar.

Kamat hanya mendiamkan dirinya. Dia hanya menganggukkan kepalanya dan seketika itu juga satu lembaga terbang dari pokok berhampiran ke arah orang tua itu sambil tertawa mengilai-hilai.

Hantu jembalang."JANGAN! JANGAN! JANGAnnnnn......" pekik orang tua itu sambil berusaha melawan lembaga yang mengomolnya. Lampu suluh yang dipegangnya itu tercampak ke arah Kamat. Dia dapat merasakan jari-jemari lembaga yang panjang itu memberkas tubuhnya sehinggakan dia tidak berdaya untuk meronta lagi. Muka lembaga itu yang hodoh disuakan hampir ke mukanya, menampakkan sepasang taring putih panjang yang berkilat. Dia terkaku, tahu akan apa yang akan berlaku sebentar lagi. Mulut lembaga itu ternganga luas.

Tiba-tiba orang tua itu seperti mendapat satu tenaga baru. Dia mulai meronta-ronta keras. "Tolong..., tolong.... Aku tidak mahu mati... Aku tidak mahu mati..." dia meraung. Bunyi petir berdetum secara tiba-tiba menenggelami suaranya itu.

Kamat berdiri diam sahaja melihatkan lembaga itu menggomol orang tua itu. Duit yang bertaburan di tanah tidak dihiraukannya. Bunyi raungan orang tua itu terus bergema dalam kegelapan malam disambut oleh bunyi petir yang berdentum-detam. Lembaga itu terus mengomol orang tua itu yang terus meraung kesakitan, tetapi Kamat hanya membiarkan ia sahaja sehinggakan sebentar kemudian raungannya beransur sepi dalam kegelapan malam itu.... Tidak lama kemudian, secara mengejut kepala orang tua itu tercabut daripada tubuhnya lalu terpelanting jauh ke udara. Setelah itu barulah lembaga itu kemudiannya terbang sambil mengilai-gilai lalu ghaib di dalam kegelapan malam itu.Kepala tercabut menitis darah.

Kamat tunduk untuk mengambil lampu suluh kepunyaannya yang terjatuh berhampiran dengan kakinya dan melangkah longlai ke dalam keretanya sebelum beredar dari situ. "Maafkan saya mak... Bukan ini yang saya inginkan." bisiknya sambil menutup bungkusan disebelahnya sambil mengesat air matanya yang mengalir deras. " Kematian mak sudah saya balas......"